Pandemik Yang Menginsafkan

Pandemik Yang Menginsafkan

Pandemik COVID-19 telah membuka mata hati saya untuk menempuh norma hidup baharu yang dahulunya kami semua dapat menghadiri kelas bersemuka tetapi kini semuanya hanya di atas talian. Pastinya kehidupan di kampus adalah berbeza berbanding kehidupan di rumah. Jika di kampus, saya akan memulakan pagi dengan menghadiri kelas secara bersemuka, mengulangkaji pelajaran di perpustakaan dan selebihnya menjalani kehidupan di asrama bersama rakan-rakan yang lain manakala di hujung minggu pula menelefon ibu dan ayah di rumah untuk bertanyakan khabar mereka.

Pandemik Yang Menginsafkan

Kehidupan pembelajaran di rumah telah merubah 100% landskap pembelajaran, di mana ia dilakukan sepenuhnya di atas talian. Baik dari segi kelas, malah peperiksaan akhir semester, ujian, kuiz, pembentangan serta perbicaraan mahkamah bagi tujuan penilaian akademik juga dilakukan secara di atas talian. Sememangnya saya menghadapi kekangan dengan norma baharu ini dari segi masa, kewangan, motivasi serta komitmen.

Keadaan ini juga telah menyebabkan pihak universiti terpaksa mengambil langkah proaktif untuk menjaga kualiti pembelajaran dan penilaian baik dari segi pemberian bantuan mahupun pemantauan yang agak ketat untuk mengelakkan pelajar meniru semasa menjawab peperiksaan walaupun berorientasikan peperiksaan buku terbuka (“open book exam”).

Dari segi pengalaman, saya pernah mengalami masalah teknikal pada komputer riba dan masalah capaian internet sepanjang peperiksaan akhir semester berlangsung. Namun yang demikian, kebanyakan pensyarah memahami masalah saya yang merupakan pelajar B40 dengan memberikan tambahan masa untuk menjawab soalan peperiksaan hingga selesai. Pihak universiti juga cakna akan golongan pelajar B40 dan para pensyarah memberikan sokongan moral kepada kami. Tidak dilupakan, rakan- rakan juga kekal terhubung dan saling melengkapi antara satu sama lain dalam melaksanakan tugasan akademik.

Pandemik Yang Menginsafkan

Tahun 2020 memberi tamparan yang besar bagi saya di mana pada mulanya ibu saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana menghidap penyakit denggi dan setelah itu ayah pula diberhentikan kerja sebagai juruteknik di sebuah hotel di Johor Bahru sejak bulan Jun tahun lalu akibat daripada impak COVID-19. Semenjak ayah diberhentikan kerja, saya perlu membahagikan masa antara pelajaran dan juga membantu ibu dan ayah mencari sumber rezeki.

Setiap pagi saya akan bangun awal bagi menyiapkan tempahan masakan dari cikgu- cikgu sekolah rendah yang juga merupakan kenalan saya semasa berkhidmat sebagai cikgu sandaran sepanjang cuti semester. Kemudian, sebelum memulakan pembelajaran secara maya atau dalam talian, saya akan menghantar tempahan tersebut ke sekolah manakala di sebelah malam pula saya akan mengumpulkan kesemua tempahan masakan untuk ibu dan membuat persiapan bahan-bahan masakan sebelum memberi fokus sepenuhnya untuk membuat tugasan kuliah “assignment” dan ulangkaji subjek.

Pandemik Yang Menginsafkan

Hujung minggu saya dihabiskan dengan mencari barang basah untuk tempahan masakan. Saya juga perlu meluangkan masa untuk mengajar adik-adik yang turut belajar secara maya dan berkongsi peranti. Pada masa yang sama, saya juga membantu ayah untuk memohon pekerjaan dan sehingga kini tatkala pandemik melanda negara, agar sukar untuk beliau mendapatkan pekerjaan.

Namun begitu, disebalik keburukan dan kepayahan dalam mengharungi pandemik ini, ada hikmah yang dapat kita pelajari seperti lebih menghargai orang tersayang yang berada di sekeliling kita disamping mengajar kita untuk bersyukur, cekal berusaha dan bersabar di bawah rahmatNya. Alhamdulillah dengan dianugerahkan sebagai penerima Program Biasiswa Ijazah Pertama Cagamas Berhad (Biasiswa Cagamas) pada tahun 2018, segala cabaran semasa pandemik masih dapat saya tempuhi sehingga kini.

Dengan keadaan ayah yang hilang punca pendapatan manakala ibu sebagai suri rumah dan adik-adik yang masih bersekolah, saya berasa bersyukur kerana Cagamas Berhad (Cagamas) telah membantu saya tatkala dilanda ujian kekangan masa untuk fokus kepada pelajaran dan membantu ibu dan ayah berniaga bagi meneruskan kehidupan kami.

Pandemik Yang Menginsafkan

Biasiswa Cagamas telah membiayai yuran pengajian, buku-buku serta kelengkapan pembelajaran lain untuk sesi akademik sewaktu pandemik COVID-19. Apa yang lebih teruja, Cagamas juga membiayai plan prabayar internet dan pembelian peranti seperti komputer riba dan pencetak komputer yang merupakan alat-alat penting untuk pembelajaran atas talian. Biasiswa ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran saya dan memberi semangat agar terus berjuang demi impian untuk terus berjaya.

Bukan sekadar itu, program mentor mentee, Biasiswa Cagamas juga turut menitikberatkan soal kesihatan mental dan sokongan motivasi kepada para penerima biasiswanya. Saya juga berasa sangat gembira kerana dapat membantu ibu dan ayah dalam meringankan beban mereka dengan elaun bulanan yang diterima daripada program ini. Terima kasih Cagamas Berhad.

Akhir kalam, tatkala pandemik ini menguji segenap pelusuk dunia dan seisinya, marilah kita mengambil iktibar dan semangat dari firman Allah S.W.T di dalam surah Ad-Dhuha ayat ke-5 bermaksud – “Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.” Teruskan berdoa dan berusaha untuk mencapai kejayaan dan keberkatan.

Pandemik Yang Menginsafkan

Mohamad Hafiz Bin Mohd Zaki is from Batch 3/2018 of the Cagamas Undergraduate Scholarship Programme and is currently a fourth year Bachelor of Law (Shariah) undergraduate from Universiti Islam Antarabangsa.