Cagamas Sokong Inisiatif Caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah untuk 400 Wanita B40 yang Berdaftar dengan Ekasih

Cagamas Sokong Inisiatif Caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah untuk 400 Wanita B40 yang Berdaftar dengan Ekasih

 

Kameel Abdul Halim, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Cagamas Berhad (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Yang Berbahagia Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO (dua dari kanan), disaksikan oleh (di belakang dari kiri) Yang Berbahagia Datuk Wira Shahul Dawood, Ketua Pegawai, Human Resource Development Corporation, Yang Berbahagia Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Manusia, Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri, Menteri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat Sim Chee Keong, Menteri, Kementerian Sumber Manusia, Yang Berbahagia Dato' Sri Subahan Kamal, Pengerusi Lembaga, PERKESO dan Puan Kasthuriraani Patto, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sosial Suri Rumah.

Kuala Lumpur, 26 Mac 2024 – Cagamas Berhad (“Cagamas”), Perbadanan Cagaran Malaysia, telah menaja caruman sebanyak RM48,000 kepada Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Tajaan daripada Cagamas akan memanfaatkan seramai 400 suri rumah golongan B40 yang berdaftar melalui platform eKasih (Pangkalan Data Kemiskinan Nasional) untuk mendapat perlindungan SKSSR secara percuma. SKSSR dikuatkuasakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022, bertujuan untuk menyediakan perlindungan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik, keilatan dan kematian semasa menguruskan rumah tangga dan keluarganya.

Tajaan SKSSR ini merupakan sokongan Cagamas terhadap usaha-usaha PERKESO dalam memperkukuhkan kesejahteraan sosial golongan wanita B40 khususnya suri rumah yang berperanan penting dalam meyumbang ke arah pembangunan institusi keluarga dan ekonomi negara secara langsung.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Kameel Abdul Halim, berkata, “Tajaan kami adalah sebahagian daripada komitmen kami dalam rangkaian tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kerangka kelestarian, di mana salah satu tunjangnya adalah memperkasa sosio-ekonomi kumpulan B40 terutamanya golongan wanita.”

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui PERKESO menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKNM) iaitu sebuah institusi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi tujuan memperkukuhkan perlindungan sosial negara serta menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat sektor swasta serta individu menyumbang penajaan SKSSR kepada wanita B40 menerusi YKNM. Mekanisme tajaan menerusi YKNM ini akan membolehkan para penaja diberi pengecualian cukai sebagaimana peruntukan di bawah seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 atas sumbangan tajaan mereka.

Sempena Majlis Pemeteraian MoU ini yang dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Steven Sim Chee Keong, Menteri KPWKM, Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Yang Berbahagia Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, turut diadakan acara penyerahan
tajaan caruman SKSSR daripada 10 syarikat swasta termasuk Cagamas yang berjaya memanfaatkan 4,864 suri rumah dari golongan B40 melalui tajaan caruman SKSSR berjumlah RM558,360.